TOT (Training of Trainers) ANTI RASUAH ZON SELATAN

Share Button

Pada 19hb. November yang lalu YARM Zon Selatan telah mengadakan Bengkel TOT ANTI RASUAH ZON SELATAN buat kali pertamanya bertempat di bangunan SPRM Johor. Majlis TOT ini telah dirasmikan oleh Pengarah SPRM  JOHOR DATO SIMI GHANI. Dalam majlis ini YARM telah mencatat sejarah mengadakan LIVE Streaming secara langsung melalui Facebook pages (Rakaman penuh boleh dilihat dengan mengklik di sini->>TOT ZON Selatan).

Dalam bengkel kali ini 10 RESOLUSI TOT YAYASAN ANTI RASUAH MALAYSIA (YARM) ZON SELATAN telah ditetapkan dengan ini YARM BERSETUJU BAHAWA;

1. YARM mesti komited dalam membantu SPRM melaksanakan agenda pencegahan rasuah di Malaysia dengan memainkan peranan sebagai pemberi maklumat serta berfungsi sebagai mata dan telinga yang amat peka.

2. Penganjuran program pencegahan rasuah bersama rakyat yang melibatkan pelbagai kelompok masyarakat dan kaum akan diperhebatkan menerusi kaedah konservatif dan fungsi media sosial sebagai sebaran maklumat yang paling pantas.

3. YARM perlu terlibat secara langsung dengan projek terkini SPRM iaitu Pelan Penilaian Risiko Rasuah sebagai penanda aras yang akan membentuk Indeks Rasuah Malaysia.

4. YARM mesti bekerjasama dengan badan-badan korporat yang mengamalkan Prinsip Anti Rasuah melalui Program Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang diperkenalkan oleh SPRM. Kerjasama menerusi memorandum persefahaman akan membolehkan YARM menjalankan projek-projek berasaskan standard MS ISO dan seterusnya menentukan Indeks Rasuah Negara.

5. YARM perlu menerajui dan mewujudkan kesepakatan dengan pelbagai NGO Anti Rasuah di Malaysia agar sinergi penting seperti perlaksanaan program dan perkongsian fakta tepat mengenai rasuah di dalam negara dapat dinyalarasakan dengan kaedah yang lebih berkesan.

6. YARM perlu menjadi contoh sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan anti rasuah di bawah prinsip NON PARTISAN; tidak cenderung kepada mana-mana parti, peringkat umur, jantina, kaum atau pun golongan masyarakat tertentu sahaja di Malaysia.

7. Pendidikan anti rasuah perlu difokuskan kepada golongan belia kerana mereka mudah terdedah kepada persekitaran dan sogokan corak kehidupan berunsurkan rasuah. Kekeliruan ini menyebabkan mereka menganggap rasuah sebagai sumber pendapatan dan punca gaya hidup mewah. Para pelajar kini sudah terbiasa dengan budaya ‘hadiah’ pemberian ibu bapa yang kononnya dikatakan sebagai dorongan kejayaan tetapi akhirnya mencetuskan unsur-unsur rasuah dan budaya mengharapkan balasan. Sikap seperti ini perlu dicegah sebelum parah.

8. HADIAH boleh dikategorikan kepada tiga hukum iaitu:
i. ‘Halal Halal’ iaitu hadiah yang diberikan di atas faktor kasih sayang.
ii. ‘Halal Haram’ iaitu hadiah yang diberi kepada penguasa kerana takut kepada mereka yang lebih berkuasa atau hadiah yang diterima kerana kedudukan diri yang berkuasa atau takut penguasa tidak memberikan hak kepada pemberi.
iii. ‘Haram haram’ iaitu hadiah yang jelas haram dan diberi sebagai upah atau dorongan sebelum atau selepas mendapat sesuatu projek atau pekerjaan.

9. Peranan media arus perdana amat penting untuk digembleng dan dijadikan sebagai rakan strategik YARM.

10. YARM mesti terus merayu dan mendesak kerajaan agar meningkatkan semula peruntukan kewangan SPRM bagi tahun 2017 untuk memastikan operasi pencegahan rasuah dapat diperkasakan hingga ke akar umbi demi membanteras gejala rasuah di Malaysia.

Disediakan oleh:
Timbalan Presiden
Tuan Haji Jais Bin Abdul Karim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *