KENYATAAN MEDIA PRESIDEN YARM: YARM TEKAD SOKONG SPRM GESA KERAJAAN ISYTIHAR RASUAH MUSUH NO.1 NEGARA

Share Button

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN YARM:
YARM TEKAD SOKONG SPRM GESA KERAJAAN ISYTIHAR RASUAH MUSUH NO.1 NEGARA

Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antirasuah di negara ini, menzahirkan komitmen penuh bagi menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Ahli Dewan Negara menggesa kerajaan supaya mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

YARM melihat isu berkaitan dadah, kebolosan warga asing, penyeludupan, ketirisan pendapatan serta hasil negara, persempadanan, keganasan, jenayah kewangan, perjudian dan pelacuran makin berleluasa kerana wujudnya amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan agensi penguatkuasa dan mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

Rasuah yang berleluasa juga boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni dan menggugat pemerintahan secara demokratik. Seterusnya, bakal lahir anggota masyarakat berperibadi buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan diri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah serta sebagainya.

Justeru, YARM menyeru kerajaan agar sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa yang merupakan isu nasional yang perlu ditangani bersama.

YARM juga menyeru semua pihak perlu menguatkan lagi iltizam memerangi rasuah dan perlu adanya kebersamaan dengan SPRM.

DATO’ SRI ZAKARIA JAFFAR
Presiden
Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM)

24 April 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *