Indeks rasuah: M’sia di kedudukan terbaik sejak sistem baru

Share Button

Indeks rasuah: M’sia di kedudukan terbaik sejak sistem baru

Geraldine Tong

Diterbitkan   |  Dikemaskini 

Kedudukan Malaysia meningkat dengan ketara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International pada 2019, dengan berada pada kedudukan 51 tahun lalu, berbanding kedudukan 61 pada 2018.

Skor Malaysia juga menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan mendapat 53 mata, iaitu peningkatan enam mata daripada 47 pada 2018.

Skor itu merupakan yang tertinggi buat Malaysia dalam CPI sejak 2012. Skor paling hampir adalah pada 2014, iaitu 52 mata. Sebelum 2012, skor dikira dengan skala 10 mata sebelum ditukar kepada skala 100 mata.

“Seluruh negara perlu diberikan ucapan tahniah. Bukan hanya penguat kuasa atau kerajaan, saya fikir orang ramai sendiri perlu diberikan ucapan tahniah, ” kata presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan pada pelancaran hasil CPI 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kalangan negara Asean, Malaysia berada di belakang Singapura dan Brunei, yang masing-masing menduduki tempat keempat dan ke-35.

Bagaimanapun, Malaysia mendahului negara Asean yang lain, dengan yang paling hampir, Indonesia di kedudukan 85.

TI-M juga membandingkan CPI Malaysia dengan beberapa negara Islam lain, di mana Malaysia berada di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Brunei manakala berada pada kedudukan sama dengan Arab Saudi.

Muhammad berkata skor Malaysia telah bertambah baik dari 2012 hingga 2014, dengan mencecah skor 52 sebelum menurun pada tahun-tahun berikutnya sehingga 2018.

Beliau berkata salah satu sebab utama penurunan skor itu di Malaysia adalah kerana skandal kewangan 1MDB.

Sementara itu, peningkatan nilai CPI Malaysia pada 2019, katanya, kemungkinan besar disebabkan oleh perubahan dalam kerajaan dan komitmen kerajaan yang baru untuk memerangi rasuah.

Antara sebab utama peningkatan CPI di Malaysia, katanya, termasuk tindakan pantas kerajaan dalam kes berprofil tinggi seperti 1MDB, SRC International Sdn Bhd, Felda dan Tabung Haji serta penangkapan beberapa tokoh politik berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang.

Muhammad juga menyorot ruang kebebasan media yang meningkat, Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) diketuai oleh pemimpin pembangkang dan pengumuman perisytiharan aset di Parlimen.

Selain itu, Muhammad juga berkata kini terdapat penyatuan peruntukan liabiliti korporat (Seksyen 17A) dalam Akta SPRM dan penubuhan Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP).

Bagaimanapun, kata Muhammad, masih ada ruang untuk penambahbaikan termasuk kekurangan garis masa untuk pembentangan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta penangguhan dalam meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) di Parlimen.

Beliau juga menegaskan bahawa budaya politik wang masih berterusan semasa pilihan raya kecil pada tahun ini.

Beliau kemudian mempersoalkan sama ada isu yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara ditangani dengan berkesan dan cekap.

Salah satu masalah utama kerajaan Pakatan Harapan sekarang ialah mereka perlu memperbaiki komunikasi mereka dengan orang awam dalam menyampaikan maklumat mengenai kerja yang mereka lakukan, kata Muhammad.

“Bergerak ke hadapan untuk terus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks ini, kerajaan PH harus mempercepat pembaharuan institusi seperti membuat SPRM lebih bebas, menggesa rang undang-undang IPCMC, membuat undang-undang pembiayaan politik untuk menghentikan politik wang dan kerap melibatkan diri dengan orang awam dan masyarakat awam untuk mengemaskini perkembangan pembaharuan dan mendapatkan maklum balas.

“NACP mempunyai 115 inisiatif dan dipercayai bahawa sehingga akhir tahun 2019, 22 inisiatif telah selesai.

“Walau bagaimanapun, kerajaan digesa untuk mendedahkan kepada orang ramai inisiatif ini untuk diteliti dan bagi tujuan ketelusan.

“Hanya dengan momentum dan kemajuan yang sedemikian kita boleh mengharapkan untuk melihat peningkatan yang lebih baik dalam indeks tahun depan,” kata Muhammad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *