Perlembagaan Yayasan Anti Rasuah Malaysia

Share Button

UNDANG-UNDANG BAGI YAYASAN ANTI RASUAH MALAYSIA

FASAL 1 NAMA

  1. Pertubuhan ini dikenali dengan nama YAYASAN ANTI RASUAH MALAYSIA

Selepas ini disebut “Yayasan”.

  1. Takrif Nama : YAYASAN ANTI RASUAH MALAYSIA
  2. Bertaraf : Lain-lain

 

FASAL 2 TEMPAT URUSAN

  1. Alamat dan tempat urusan Yayasan ialah:-

No.B2 – 1A, Jalan Prima Saujana 2/G,

Taman Prima Saujana, Seksyen 3,

43000 Kajang,

Selangor Darul Ehsan

 

dan  alamat untuk surat-menyurat adalah

No.B2 – 1A, Jalan Prima Saujana 2/G,

Taman Prima Saujana, Seksyen 3,

43000 Kajang,

Selangor Darul Ehsan

 

  1. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 

FASAL 3 MATLAMAT

3.1       Bertindak sebagai Badan Bukan Kerajaan yang membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di dalam menjalankan aktiviti kempen anti rasuah kepada setiap lapisan masyarakat.

3.2       Menyediakan program-program kesedaran sivik secara positif yang mengandungi nilai-nilai murni kepada setiap lapisan masyarakat sebagai sistem kawalan dalaman pencegahan perlakuan rasuah.

3.3       Bertindak sebagai pemudahcara dan sekretariat bagi semua Badan Bukan Kerajaan yang menjalankan aktiviti anti rasuah di dalam dan luar negara.

3.4       Berkecuali dan menyokong program anti rasuah daripada agensi kerajaan.

3.5                   Mengadakan kempen dan promosi anti rasuah kepada setiap lapisan masyarakat.

3.6       Mengadakan program-program berbentuk pendidikan dan kesedaran tentang maksud rasuah serta kewajipan setiap individu untuk menjauhkan diri dari perlakuan rasuah.

 

FASAL 4  KEAHLIAN

4.1      Kriteria keahlian pertubuhan adalah seperti berikut:

  1. Ahli Biasa
  2. Kewarganegaraan : Malaysia
  3. Umur Minima : 18 tahun
  • Tempat tinggal : Negeri-negeri di Malaysia
  1. Keturunan / Bangsa : Semua
  2. Jantina : Semua
  3. Agama : Semua
  • Kriteria Keahlian Yang Lain : Mempunyai Jati Diri Yang Tinggi Untuk Menghindarkan Diri Dari Perlakuan Rasuah

4.1.2 Ahli Bersekutu

Persatuan atau Pertubuhan berdaftar di Malaysia

4.1.3   Ahli Kehormat

(a) Ahli Kehormat ialah seseorang individu  yang berjasa kepada masyarakat dan boleh memberi sumbangan kepada pertubuhan. Keahlian Ahli Kehormat juga boleh dianugerahkan oleh Jawatankuasa Pertubuhann dengan suara yang terbanyak kepada sesiapa yang difikirkan wajar dan layak.

(b) Seorang Ahli Kehormat berhak menerima segala kemudahan seorang ahli Pertubuhan kecuali hak mengundi dan diundi, melantik dan dilantik memegang mana-mana jawatan dalam Pertubuhan. Tiada yuran yang dikenakan bagi Ahli Kehormat.

4.2      Setiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh seorang ahli dan dihantar kepada Setiausaha Agung yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan.  Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

4.3     Permohonan yang  telah didaftarkan  disifatkan sebagai seorang ahli  Pertubuhan dan mempunyai hak-hak sebagai seorang ahli.

 

FASAL 5 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

5.1      Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Agung dan menjelaskan segala hutangnya jika ada.

5.2      Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertuhuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya dalam tempoh 10 hari dari tarikh penerimaan suarat pemecatan atau penggantungannya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu berikutan dari rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 6 SUMBER KEWANGAN

Sumber kewangan pertubuhan ini adalah daripada:

6.1     Bayaran yuran kemasukan sebanyak RM30.00 ( tiga puluh ringgit)

6.2     Yuran tahunan sebanyak RM 50.00 (sepuluh ringgit).  Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam  tempoh 7 hari dari awal tiap-tiap tahunan.

6.3     Seseorang ahli diberi pilihan untuk menjadi ahli seumur hidup dengan membayar yuran seumur hidup sebanyak  RM 200.00 ( dua ratus ringgit).

6.4     Ahli yang membiarkan tunggakan pembayaran yurannya lebih daripada 2 tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh Setiausaha Agung atau wakilnya, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga jumlah tunggakannya itu telah dijelaskan.

6.5     Ahli yang membiarkan tunggakan pembayaran yuran sehingga 3 tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan perlucutan keahlian terhadapnya dengan syarat Jawatankuasa berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan tunggakannya itu terlebih dahulu.

6.6     Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan kemasukan semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan tunggakan pembayaran.

6.7     Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu selain daripada peruntukan di fasal 6.2 di atas boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung Pertubuhan.  Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

6.8     Sumbangan

Pertubuhan ini dibenarkan untuk menerima sumbangan dalam bentuk wang dan barangan.  Sumbangan berbentuk wang hendaklah disytiharkan dengan jelas dan tepat dalam Penyata Tahunan pertubuhan.

6.9     Kegiatan Ekonomi

Pertubuhan ini boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, memiliki harta alih dan tak alih serta lain-lain kegiatan ekonomi.

 

FASAL 7  MESYUARAT AGUNG

7.1   Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang lebih kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

7.2   Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada tempoh 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

7.3   Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan adalah:

(a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;

(b) menerima laporan kewangan oleh Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;

(c) memilih dan melantik ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tempoh dua tahun yang akan datang; dan

(d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

7.4   Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu notis dan agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

7.5   Mesyuarat Agung Khas bagi Pertubuhan ini boleh diadakan bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa atau atas permohonan bertulis daripada sekurang-kurangnya satu perlima (1/5) daripada ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan.  Peruntukan fasal 7.4 di atas yang berkenaan hendaklah dipakai.

7.6   Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh Jawatankuasa atau ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

7.7   Fasal 7.1 dan 7.2 di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah digunakan untuk mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat Agung Khas atas permintaan Jawatankuasa atau ahli-ahli tu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan Jawatankuasa atau ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

7.8  Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

 

FASAL 8  JAWATANKUASA

8.1  Perjalanan Persatuan ini adalah dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa yang dipilih dua tahun sekali dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mengandungi seorang Presiden, seorang Timbalan Presiden, dua orang Naib Presiden, seorang Setiausaha Agung , seorang Penolong Setiausaha, seorang Bendahari, dan sekurang-kurangnya empat ahli jawatankuasa biasa yang dipilih dari kalangan ahlinya.

8.2   Pemegang-pemegang jawatan dalam Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.  Walau apa pun ini tidak menyekat Jawatankuasa untuk melantik sesiapa sahaja secara ad hoc kedalam Jawatankuasa untuk mendapatkan nasihat atau tunjukajar kepakarannya.

8.3   Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

8.4 Presiden adalah diberi kuasa untuk melantik  seorang Naib Presiden Ketiga, tiga (3) ahli Jawatankuasa tambahan pada bila-bila masa untuk melicinkan perjalanan Persatuan.

8.4   Fungsi Jawatankuasa adalah untuk mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung atau diluar kerana jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung.  Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

8.5   Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan.  Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli Jawatankuasa 7 hari terlebih dahulu.  Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa.  Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

8.6   Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Agung bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

(b) sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan bertulis  mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) sebarang keputusan yang dibuat melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.  Jika ianya tidak disahkan maka segala tindakan terhadap keputusan itu dianggap tidak sah dan hendaklah diperbetulkan.

8.7   Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

8.8   Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Agung dan mana-mana ahli lain dari kalangan ahli-ahli untuk membantu Setiausaha Agung untuk menjalankan urusan Perrtubuhan, dan juga melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

8.9   Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil yang tidak semestinya dari kalangan ahli-ahli jawatankuasa bagi menjalankan sesuatu aktiviti.

 

 

FASAL 9  KEWAJIPAN PEGAWAI

9.1 PRESIDEN

Presiden akan memimpin Pertubuhan dalam usaha-usaha mencapai tujuan-tujuannya. Beliau hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat agung dan mesyuarat  jawatankuasa.

9.2 TIMBALAN PRESIDEN

Timbalan Presiden bertanggungjawab untuk membantu Presiden memimpin Pertubuhan dan menjalankan tugas-tugas Presiden jika Presiden tiada atau tidak dapat menjalankan tugasnya.

9.3 SETIAUSAHA AGUNG

Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang Pertubuhan dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung, mesyuarat agong dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua dokumen seperti buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha Agung hendaklah menyimpan Buku Daftar Ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha Agung hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan hendak diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1996.

9.4 PENOLONG SETIAUSAHA

Penolong Setiausaha hendaklah membantu Setiausaha Agung menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Agungatau apabila beliau tidak dapat menjalankan tugasnya.

9.5 BENDAHARI

Bendahari adalah bertanggungjawab terhadap semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Semua cek yang dikeluarkan hendaklah mengandungi tandatangan Bendahari.

9.6 AHLI JAWATANKUASA BIASA

Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah bila diperlukan membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

 

FASAL 10  KEWANGAN

10.1   Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam undang-undang ini wang Persatuan boleh digunakan untuk perkara yang dibenarkan dan berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, umpamanya perbelanjaan pentadbiran, bayaran saguhati, dan upah memeriksa kira-kira.

10.2   Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai untuk tujuan peruncitan tidak lebih daripada RM 300.00. (tiga ratus ringgit) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

10.3   Jawatankuasa hendaklah melantik sesama Ahli Jawatankuasa sebagai penandatangan-penandatangan cek mengikut had tertentu. Segala kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani oleh Presiden atau Timbalan Presiden bersama Bendahari.

10.4   Perbelanjaan yang melebihi RM 10000.00  (sepuloh ribu ringgit) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar tanpa diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang melebihi RM 100,000.00) (seratus ribu ringgit) bagi sesuatu masa  tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.  Perbelanjaan RM 1000.00 (satu ribu ringgit) dan kebawah bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden atau Timbalan Presiden atau Setiausaha bersama Bendahari.

10.5   Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 Undang-Undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

10.6   Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.

 

FASAL 11 JURUAUDIT

11.1   Jawatankuasa akan melantik dua orang pemeriksa luar sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.

11.2   Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga apabila diarahkan pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Pertubuhan dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

 

FASAL 12  PENTADBIR HARTA/PEMEGANG AMANAH

12.1   Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 40 tahun hendaklah dilantik oleh Jaawatankuasa dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

12.2   Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Pertubuhan.

12.3   Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidap dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik oleh Jawatankuasa.

 

FASAL 13 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN

13.1   Apabila timbul keraguan, Jawatankuasa boleh menggunakan budibicara untuk memberikan tafsirannnya terhadap undang-undang ini dan Jawatankuasa jika terdesak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini selagi ianya tidak memudaratkan Persatuan.

13.2   Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad selagi ianya tidak diubah oleh mesyuarat agung.

 

FASAL 14 PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik sesiapa orang yang layak dan sesuai untuk menjadi Penasihat bagi Pertubuhan dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

 

FASAL 15 LARANGAN

15.1   Permainan judi yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan dalam premis Persatuan umpamanya: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ii Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, “banker’s game” dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

15.2   Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang di definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

15.3   Pertubuhan tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

15.4   “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

 

FASAL 16  PINDAAN PERLEMBAGAAN

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung.   Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari daripada tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

 

FASAL 17  PEMBUBARAN

17.1   Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

17.2   Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

17.3   Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

 

FASAL 18 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

Tiada

 

 

 

 

 

Disahkan                                                                                 Disahkan

 

 

……………………………….                                                            …………………………………………….

TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM                             DR AHMAD SATAR ALI MERICAN

Presiden                                                                                   Timbalan Presiden

 

 

Disediakan

 

 

 

………………………………..

MD ALIMUDDIN RAHIM

Setiausaha Agung