Bukit Aman lancar Pelan Tindakan AntiRasuah PDRM

Share Button
BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelan Tindakan AntiRasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilancarkan esok adalah usaha menangani gejala rasuah dalam kalangan warga pasukan keselamatan itu dengan lebih tegas.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pelan berkenaan akan menjadi rangka tindakan kepada pasukan itu dalam memerangi gejala rasuah bagi tempoh empat tahun sehingga 2024.

Selain menyentuh aspek antirasuah, beliau berkata pelan itu juga banyak menyentuh aspek tadbir urus dengan lebih meluas supaya PDRM dapat diuruskan dengan baik bagi membolehkan prestasi dan perkhidmatan diberikan sebaik mungkin.

“Pelan ini mula dirangka pada 2018 apabila kerajaan mahu semua jabatan mempunyai pelan antirasuah sendiri selaras dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas sempena Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah PDRM di Bukit Aman, hari ini.

Zamri berkata, pelancaran pelan itu akan disiarkan secara langsung di laman Facebook PDRM pada jam 10 pagi dan dijangka disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Zamri berkata, pelan itu dirangka menerusi rundingan dengan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meneliti semua syor, dapatan dan rumusan bagi menghapuskan rasuah serta mewujudkan tadbir urus yang baik dalam PDRM.

“Semua jabatan dalam PDRM terbabit dalam memberikan syor dan menyatakan isu mengenai perkara yang perlu ditambah baik dan ia dapat dilihat dalam pelan ini,” katanya.

Zamri berkata, pelan itu memberi fokus terhadap enam teras utama iaitu Tadbir Urus Organisasi; Risikan Keselamatan; Penguatkuasaan Undang-Undang; Siasatan dan Pendakwaan; Ketenteraman Awam dan Pengurusan Kewangan dan Perolehan.

“Semua teras utama ini akan diterjemahkan kepada bentuk inisiatif yang perlu dilaksanakan melalui pengarah jabatan dalam PDRM,” katanya.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membantu JIPS dalam memantau pelaksanaan pelan itu bagi memastikan keberkesanan sehingga pelaksanaannya berakhir.

Dalam pada itu, Zamri berkata gejala rasuah dalam kalangan warga PDRM adalah satu masalah yang berterusan dan membimbangkan walaupun tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam kesalahan itu sudah diambil sejak dahulu kerana jumlah sogokan yang ditawarkan kini semakin besar.

“Sebagai contoh, ketika saya mula bertugas 34 tahun dulu, jenayah judi nombor ekor sahaja tapi sekarang kita dapat lihat banyak berlaku jenayah judi secara dalam talian yang menawarkan sogokan lebih besar kepada mereka yang tidak berintegriti,” katanya.

Beliau berkata, menurut statistik sejak lima tahun lalu, lebih 6,000 warga PDRM dikenakan tindakan kerana terbabit dalam pelbagai salah laku termasuk kesalahan rasuah.

Menurut beliau antara cabaran terbesar JIPS dalam menjalankan peranannya ialah mengambil tindakan terhadap warga PDRM yang terbabit dalam jenayah termasuk melindungi sindiket jenayah tertentu.

“Mereka adakalanya berpakat dengan sindiket jenayah dengan tidak mengambil tindakan selepas menerima habuan walaupun terdapat laporan mengenai sindiket itu,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:22 PM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *